Pages

Banner 468 x 60px

SelaMat DaTang Ke WannZ ZOne.. UnTuk Membaca ArTikel peNuh Klik paDa TaJuk EnTry...

January 3, 2008

Sang Kenari Ratah Gergasi Merah

0 Komen

Kedah berjaya merampas takhta Liga Super semalam apabila meratah Selangor 6-2 di tempat sendiri di dalam perlawanan malam tadi. Ini adalah keputusan terburuk untuk pasukan pelawat sepanjang pertembungan kedua-dua pasukan di dalam lga bola sepak tempata di Stadium Darul Aman.

Selangor sebelum turun perlawanan semalam adalah pendahulu Liga Super dengan 10 mata serta mempunyai rekod tanpa kalah selepas empat perlawanan terdahulu dan Kedah berada di tangga keempat setelah tumpas kepada Terengganu minggu lepas.

Kedah yang menurunkan kesebelasan utamanya dilihat lebih menguasai perlawanan dan Selangor yang kehilangan Fadzli Shaari dan Amri Yahyah pula gagal untuk menangkis serangan bertali arus pasukan tuan rumah di hadapan 25 000 penyokong di stadium.

Awal perlawanan, semangat pemain Kedah lebih menonjol untuk mencari gol seawal mungkin dan rembatan Hasmawi Hassan pada minit ke 2 terkena tiang kanan gawang Selangor di kala Megat Amir Faisal sudah tidak mampu berbuat apa-apa. Selang tiga minit kemudian, tiang kiri pula menjadi penyelamat Selangor apabila menghalang rembatan Marlon Alex James yang berjaya meloloskan diri dari kepungan pertahanan setelah mendapat umpanan kemas dari Nelson Sam Martin.

Ketika perlawanan memasuki minit ke 12, Kedah berjaya mendapat gol pertama apabila Khyril Muhaimeen berjaya menggunakan kesempatan dari sepakan sudut Nelson untuk menanduk masuk melepasi Megat Amir untuk menggamatkan stadium. Pada minit ke 17, giliran tonggak pertahanan import, Bernanrd Auollar Hunggin pula menggamatkan stadium apabila berjaya menyempurnakan hantaran Nelson berpunca dari sepakan percuma di kiri luar kotak penalti Selangor untuk gol kedua Kedah.

Selepas gol kedua itu, Kedah terus mengasak sambil Selangor cuba untuk mengatur semula permainan mereka. Akibat dari satu serangan Selangor, Auollar telah menjatuhkan Safee Sali di dalam kotak penalty dan pengadil tidak teragak-agak untuk memberikan sepakan penalti kepada pasukan pelawat. Frank Seator tidak mensia-siakan peluang itu dan berjaya merapatkan kedudukan menjadi 2-1 pada minit ke 24.

Kedah yang tersentak dengan jaringan melipat gandakan serangan untuk menjarakkan kedudukan dan pada sepuluh minit selepas itu, Marlon Alex James berjaya menjaringkan gol ketiga Kedah selepas berjaya menggelecek beberapa pemain pertahanan Selangor dan seterusnya merembat kencang menewaskan Megat Amir. Bagaimanapun, Selangor merapatkan kembali kedudukan selang lima minit kemudian akibat kealpaan barisan pertahanan Kedah yang membiarkan Evan Chisulo keseorangan dan menanduk masuk menewaskan Helmi Eliza Elias di gawang.

Babak kedua menyaksikan Kedah makin bernafsu untuk meratah Selangor, dan para pemain tidak mensia-siakan peluang yang terhidang akibat kerapuhan barisan Selangor dalam perlawanan itu. Badrol Baktiar pula memahat namanya sebagai penjaring keempat untuk Kenari apabila merembat masuk hasil umpanan cantik dari Marlon Alex James di dalam kotak penalti Selangor ketika babak kedua baru bermula tiga minit.

Selepas itu, Kedah mula menguasai perlawanan sementara Selangor masih lagi terkial-kial untuk mencari rentak. Keadaan itu digunakan sepenuhnya oleh pasukan tuan rumah untuk terus mengasak dan akibatnya, Dollah Salleh dan anak buahnya terus menggigit jari apabila giliran Hasmawi Hassan pula menggembirakan para penyokong setia Kedah apabila mengambil kesempatan bola muntah dari tangkapan Megat Amir yang menahan rembatan Marlon Alex James pada minit ke 83 untuk kedudukan menjadi 5-2.

Stadium Darul Aman terus bergema lagi buat kali keenamnya apabila Marlon Alex James sekali lagi menghukum kealpaan barisan pertahanan pelawat apabila berjaya meloloskan diri dari perangkap offside dan menggelecek Megat Amir untuk gol ke 6 Kedah pada minit ke 87.

0 Komen: