Pages

Banner 468 x 60px

SelaMat DaTang Ke WannZ ZOne.. UnTuk Membaca ArTikel peNuh Klik paDa TaJuk EnTry...

January 7, 2008

Pasukan Hijau Kuning Tidak Mahu Berputih Mata Lagi

0 Komen
SEPERTI harimau yang tercedera, Kedah cuma melihat ke arah satu matlamat - turun ke gelanggang dan merampas semua mata ketika menentang UPB-MyTeam dalam saingan bola sepak Liga Super di Stadium Darulaman, malam ini.

Kekalahan 0-2 kepada Brunei di Bandar Seri Begawan, Selasa lalu sekadar menerbitkan satu kesungguhan pada anak buah Mohd Azraai Khor Abdullah agar tidak menderita lagi, tambahan aksi di halaman sendiri menuntut kejayaan buat mencari penawar duka kepada ribuan penyokong Hijau Kuning yang bakal membanjiri gelanggang.

Pengurus pasukan, Datuk Othman Aziz yang tidak menyembunyikan rasa kecewa kalah tempoh hari, mahu setiap pemain bangkit melakar kemenangan untuk melonjak semula ke persada liga walaupun tetap berwaspada lawan boleh membuat kejutan.

“Apabila pemain turun menentang UPB-MyTeam esok (malam ini) ia bukan hanya sekadar untuk mengilhamkan kemenangan tetapi turut menambahkan bilangan jaringan jika pemain mengerti bahawa fakta ini bakal menjadi penentu kejuaraan pada penghujung saingan kelak.

“Apa yang melegakan adalah Kedah akan membariskan semua tonggak kecuali (V) Thirumurugan yang terpaksa diketepikan kerana menerima kad kuning ketiga ketika bertemu Brunei pada perlawanan lalu,” kata Othman.

Kedah yang membelasah Selangor 6-2 di Alor Star pada 29 Disember lalu mampu mengulangi persembahan sama sekali lagi, tetapi ia banyak bergantung kepada pendekatan pemain yang tampak agak kecewa selepas tewas kepada Brunei walaupun percaya mereka memberi persembahan terpuji.

Pengurus itu pula tidak menolak hakikat betapa keadaan padang yang tidak rata di Bandar Seri Begawan turut merencatkan gempuran Hijau Kuning.

“Saya percaya dengan sokongan padu ribuan peminat di Stadium Darulaman, pemain kita dapat kembali meningkatkan prestasi mereka merampas tiga mata bagi menyambung cabaran ke arah usaha mengejar mahkota kejuaraan musim ini,” kata Othman.

Katanya, ketinggalan dengan perbezaan tiga mata tidak begitu ketara kerana yakin Kedah mampu merampas kembali kedudukan teratas tangga liga musim ini daripada Terengganu secepat mungkin.

“Pemain saya juga tidak risau dengan kekalahan kepada Brunei kerana mereka mengetahui kejayaan lawan itu bukan kerana anak buah saya lemah ataupun prestasi yang buruk tetapi hanya kerana keadaan padang.

“Saya yakin esok (malam ini) anak buah saya mempamer rentak permainan sama ketika membenam Selangor minggu lalu bagi memastikan kemenangan dilakar di tempat sendiri,” kata Othman.

0 Komen: